Tuesday, July 13, 2010

Kambing

SILAP ANDAIAN

DAGING kambing dikatakan sebagai panas, mereka yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi mungkin tidak mahu mengambil daging kambing kerana percaya ia akan meningkatkan tekanan darah.

Namun pandangan ini disanggah pakar bioteknologi pembiakan, Prof Dr Ramli Abdullah yang mana katanya, kadar lemak kambing hampir sama dengan ayam iaitu kira-kira tiga peratus.

Apa yang berlaku ialah mereka mungkin mengambil daging kambing biri-biri kerana berbanding kambing, peratus lemak dalam biri-biri ialah sebanyak 16 peratus.

Bagi 100 gram daging kambing yang dipanggang ia mengandungi 143 kalori, 27 gram protein, 3 gram lemak, 3.7 miligram zat besi, 85 miligram sodium dan 75 miligram kolestrol. Secara perbandingan, bagi setiap 85 gram daging kambing yang dimasak ia mengandungi 2.58 gram lemak dan 0.79 asid lemak tepu berbanding biri-biri yang mengandungi 16 gram lemak dan 7.3 asid lemak tepu.

Kata Prof Ramli, ini jelas menunjukkan kadar lemak dan kolestrol pada daging kambing kurang daripada biri-biri dan lembu. Malah, sebuah universiti di New York juga menjalankan kajian yang mana daging kambing diberikan kepada penghidap penyakit kardiovaskular.

Mengenai panas, sememangnya daging kambing panas dan kerana itu penduduk di negeri China gemar mengambil daging kambing pada musim sejuk kerana ia dapat memanaskan badan.

Persepsi makan daging kambing boleh meningkatkan tekanan darah sudah lama di kalangan masyarakat kita dan apa yang berlaku, faktor psikologi yang mungkin meningkatkan tekanan darah seseorang.