Loading...

Thursday, August 4, 2011

SIKAP MUSLIMIN TERHADAP LAILATUL QURAN


Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w, kita mendapat dua bentuk kemuliaan dari langit.
Pertamanya, Al-Quran yang turun dari langit pada malam Lailatul Qadar dalam bulan
Ramadhan. Kedua kita mendapat arahan melakukan solat fardhu ketika Nabi Muhammad
s.a.w menerimanya di langit pada malam Isra' Mikraj.
Rasulullah s.a.w pernah disoal tentang amalan apakah yang sebaik-baiknya diamalkan
jika mereka bertemu Lailatul Qadar itu. Maka nabi meminta kita membaca doa, "Allahumma
inna nas aluka ridhoka wal jannah wa na'uzubika min sakhatika wan nar..."
Oleh kerana Lailatul Qadar ini terkait dengan sejarah penurunan al-Quran, dan malaikat
serta ruh pun turun mengiringi penurunan al-Quran sebagai petunjuk dan hidayah, maka
selayaknya kita menghiasi malam Lailatul Qadar dengan doa yang tidak bersifat keduniaan
semata-mata, seperti mohon hendak jadi kaya, mendapat projek, dan lain-lain.
Biarlah kita mohon supaya ada keberkatan (roh) pada harta kekayaan itu, iaitu kita akan
pandai menggunakannya ke arah kebaikan, mengeluarkan zakat, membanyakkan sedekah dan
lain-lain.
Dan jika kita mendapat projek sekali pun, ia bukanlah didapati melalui rasuah dan
tidaklah kita mengalibabakan projek sehingga menyebabkan banyaknya pembinaan rumah
yang terbengkalai. Atau jika mendapat projek pembelian kapal selam itu sekali pun, ia
bukanlah sampai mengundang tragedi berdarah ke atas wanita Mongolia.
Syahadan, doa yang teragung adalah doa yang telah diajarkan oleh baginda tadi -
"Allahumma inna nas aluka ridhoka wal jannah wa na'uzubika min sakhatika wan nar."
Hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam ada keghairahan mencari tanda-tanda Lailatul
Qadar kerana mahukan imbuhan pahala yang banyak kerana malam itu dikatakan lebih baik
daripada 1,000 bulan. Juga, mereka menunggu malam itu kerana pada malam itu akan
dimakbulkan segala doa dan hajat.
Malah, dengan sebab tersebarnya mitos berhubung pokok-pokok bersujud pada malam
tersebut, maka ada kalangan kita yang sanggup menunggu isyarat itu agar terbentang di
depan mata. Adalah terlebih afdal, masa yang digunakan untuk menunggu petanda itu
digunakan untuk meneruskan amalan dan berdoa untuk kebaikan kehidupan yang lebih baik
dan sempurna.
Kalau kita mahu berdoa untuk mendapat imbuhan akhirat yang baik, maka hendaklah kita
berdoa agar diberi sebuah dunia yang baik di mana khalifahnya adil dalam pemerintahan.
Pemimpinnya banyak menyeru ke arah amal soleh dan secara tidak langsung akan
menyebabkan bakal lahirnya sebuah dunia yang baik, insya Allah Ta'ala.

No comments:

Post a Comment